Dato’ Professor Dr. Noor Inayah Yaakub

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
Ahli Majlis Pengawasan Syariah

Dato’ Professor Dr Noor Inayah binti Ya’akub merupakan individu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam industri Pendidikan Tinggi. Baru-baru ini beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah AmanahRaya Trustees Berhad. Dalam pada itu juga, beliau merupakan Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) sejak Julai 2021. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif & Rektor di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur. Dalam menerajui kolej ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif & Rektor, beliau antara lain merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membawa transformasi besar-besaran kepada kolej ini dengan memaksimumkan kualiti pendidikan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) terutamanya dalam kursus Perakaunan Profesional dan kursus berakreditasi yang lain. Sumbangan beliau di kolej ini termasuk penambahbaikan yang ketara kepada pelajar (B40) dan kualiti pengajaran, peningkatan impak hubungan dengan industri, seterusnya meletakkan Kolej Profesional Baitulmal di antara kolej yang terbaik dalam kursus Perakaunan Profesional dan kursus berakreditasi lain kepada calon-calon pelajar (B40).

Dari segi akademik, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1993 dan pada tahun 1994 beliau memperoleh Ijazah Kedua dalam Undang-undang Syariah. Seterusnya beliau telah menerima Ijazah Sarjana dalam Undang-undang Komersial dari salah satu fakulti undang-undang terkemuka lima teratas, iaitu di Universiti Bristol, England pada tahun 1997. Kemudiannya pada tahun 2002, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Manchester, England di mana beliau berjaya menamatkan pengajiannya kurang dari tiga tahun. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 4 Jun 2019 di Amanah Raya Berhad dan beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Nomination & Remuneration. Beliau juga menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Audit dan Review, Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Integriti, Majlis Pengawasan Syariah sejak 2016 dan Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan AmanahRaya.

Dato’ Profesor Dr Noor Inayah juga memiliki kelayakan profesional di mana beliau telah menerima pentauliahan sijil kepakaran QS-Apple-Asia Pacific Professional Leaders in Education ke-5 pada tahun 2009. Pada tahun yang sama juga, beliau menerima Advance Certificate Technology Transfer & Project Management dari Universiti Oxford. Kemudian pada tahun 2012, beliau telah menerima United Nation Professional Certificate for Selected Higher Learning Corporate Planning Leaders untuk komponen penyelidikan dan pengajaran universiti. Pada 2019, beliau menerima Advanced Certificate for Leaders in Education: Innovation and Strategy for the future Higher Education, School of Executive Education, Cambridge Judge Business School, dari Universiti Cambridge.

Dato’ Profesor Dr Inayah mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan tertinggi di sesebuah syarikat dan agensi awam. Di peringkat antarabangsa, Dato’ Profesor Dr Noor Inayah telah dianugerahkan The Best Business Law Professor oleh The Golden Globe Tigers Award Malaysia pada tahun 2019. Pada tahun yang sama juga beliau telah menerima anugerah berprestij Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan untuk kategori Tokoh Ilmuan. Berikutan itu pada tahun 2019 – 2020, beliau berada di kedudukan ke-22 daripada 300 wanita paling berpengaruh di dunia dalam Kewangan Islam yang dinilai oleh UK Cambridge Financial Association 2020. Beliau telah menerima banyak lagi penganugerahan dan pengiktirafan dunia dan nasional dalam kepimpinan beliau di dalam industri.

Pada masa ini juga, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang, sebuah institusi pengajian tinggi milik Majlis Agama Islam Negeri dan juga Ahli Jawatankuasa Majlis Syura di negeri yang sama. Selain itu, Majlis Agama Islam Selangor juga telah melantik beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Baitulmal & Pembangunan. Dalam sepanjang kerjaya beliau, Dato’ Profesor Dr Noor Inayah Ya’akub berjaya mengharungi dan melepasi segala tekanan dan jangkaan daripada pengurusan tertinggi dan beliau aktif dalam mewakili Malaysia sebelum ini di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengekalkan ekosistem Wakaf di dalam pendidikan tinggi. Kepimpinan dan pengetahuan beliau banyak memberi manfaat kepada pelbagai peringkat lembaga dan jawatankuasa pemandu di dalam negara.

 

Kembali